MOVIE RECCOMMENDATION: GIFTED
Assalamualaikum dan Hi semua.
Saya baru-baru ini menonton filem yang ditayangkan pada tahun lepas. Judulnya adalah Gifted. Filem ini bukanlah filem yang terbaik dan tema kekeluargaan yang agak klise namun tetap menyentuh hati dan menghadirkan senyuman di bibir.
Simple but just nice.
Filem Gifted ini mengutarakan kisah hidup seorang kanak-kanak genius berusia tujuh tahun bernama Mary Adler (lakonan Mckenna Grace) yang memiliki kepakaran luar biasa dalam bidang matematik.
Walaupun Mary seorang kanak-kanak, tetapi persekitaran hidup dan hubungan erat dengan bapa saudaranya, Frank Adler (Chris Evans) seorang pembaiki kapal telah menjadikannya individu yang cukup matang dan tidak menampakkan seperti kanak-kanak biasa yang lain.
Ditambah pula dengan hubungan akrabnya bersama Roberta Taylor (Octavia Spencer) yang merupakan jiran dan juga tuan rumah kepada tempat tinggal Mary dan Frank, membuatkan Mary berasakan hidupnya cukup sempurna biarpun tidak mewah.
Akan tetapi, konflik hidup Frank dan Mary mula timbul apabila Frank menolak mentah-mentah tawaran daripada pihak sekolah Mary yang mahukan kanak-kanak bijak itu mendapat pendidikan terbaik beserta biasiswa di sebuah sekolah swasta golongan genius seperti Mary.
Semuanya bersebab kerana Frank tidak mahu Mary ditimpa nasib serupa seperti adiknya, Diane – ibu kandung Mary yang membunuh diri kerana tekanan perasaan akibat daripada desakan keluarga yang mahukan Diane menjadi pakar matematik.
Apatah lagi selepas ibu kandung Frank, Evelyn (Lindsay Duncan) mula hadir dalam hidup mereka dan mahu menuntut hak penjagaan ke atas Mary dengan menggunakan segala kemewahan dan pengaruh yang dimilikinya.
Secara tidak langsung, ia sekali gus mahu melunaskan impian dan cita-cita Evelyn yang selama ini ingin menjadi seorang pakar matematik namum impiannya berkecai selepas berkahwin pada usia muda dan menjadi suri rumah sepenuh masa selain kematian Diane.
Biarpun ia bukanlah sebuah karya yang dihasilkan untuk menyertai festival filem atau bertaraf Oscar, tetapi Gifted berlayar dengan keindahan yang terhasil daripada lakon layar oleh Tom Flynn.
Juga tertarik untuk melihat bagaimana Gifted cuba meneroka permasalahan yang saya sifatkan sebagai sejagat apabila ia membicarakan tentang dalam membesarkan anak istimewa ini.
Mesej Gifted cukup jelas. Bukan soal kaya atau miskin tetapi bagaimana untuk memberikan kehidupan terbaik untuk kanak-kanak tidak kira mereka itu adalah normal ataupun sebaliknya. Semuanya itu dapat dilihat bagaimana konflik antara Evelyn dan Frank yang memiliki ideologi berbeza dalam soal pendidikan kanak-kanak yang merupakan tunjang utama kepada filem Gifted.
Akhir kata, jika ada waktu filem ini wajar ditonton.
Sekian, salam.
Comments
Post a Comment